SUKAN > BERITA

HARAPAN SKUAD SKUASY REMAJA NEGARA BURU GELARAN BERGANDA LEBUR

16/02/2025 06:51 PM

KUALA LUMPUR, Feb 16 (Bernama) -- Impian skuad remaja negara untuk meraih kejayaan berganda tidak kesampaian apabila pasukan lelaki dan perempuan masing-masing menamatkan saingan Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2025 selaku naib juara di Hong Kong hari ini.

Dalam aksi final di Pusat Skuasy Hong Kong, rekod cemerlang skuad perempuan negara yang menjuarai kejohanan sejak 2015 akhirnya terhenti selepas tewas 0-2 kepada pasukan tuan rumah.

Ena Kwong membuka tirai kemenangan buat Hong Kong dengan menundukkan Anrie Goh 11-3, 11-7, 11-6.

Tsz Ching Cheung kemudian memastikan kejuaraan kelima buat negaranya selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Harleein Tan 3-11, 11-7, 11-8, 11-5.

Sementara itu, skuad lelaki Malaysia gagal menamatkan kemarau kejuaraan selama 10 tahun selepas tunduk 0-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan akhir.

Naib juara remaja dunia Joo Young Na memberi permulaan cemerlang buat pasukannya dengan menewaskan Harith Danial Jefri 11-6, 8-11, 9-11, 11-7, 11-2.

Jeong Uk Ryu melengkapkan kejayaan Korea Selatan dengan menampilkan kebangkitan dramatik, menewaskan M. Nickhileswar 6-11, 13-11, 5-11, 11-9, 11-7 sekali gus menghadiahkan gelaran bersejarah dan pertama buat pasukan mereka dalam kejohanan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan