KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pemain Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari memasang impian menyaksikan pasukan itu menjulang kejuaraan Piala TNB yang bakal memulakan saingan esok sekali gus meraih penamat terindah bagi musim 2025.
Penyerang prolifik berusia 34 tahun yang baru sahaja memacu kejayaan THT muncul juara liga buat kali ketujuh semalam, menyifatkan dengan menjuarai piala itu bakal menjadi simbol penguasaan THT dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL).
"Bagi saya, satu sejarah apabila dalam sembilan perlawanan liga kita tanpa kalah. Tahun 2025 memang manis tapi kalau nak lagi manis kena menang Piala TNB.
"Untuk Piala TNB kita perlu bermain tiga perlawanan (suku akhir, separuh akhir dan final), jadi apa-apa boleh berlaku dan kalau ada kesalahan kecil memang akan menghukum kita. Saya harap semua pemain dapat elakkan selain kekalkan momentum untuk baki perlawanan,” katanya selepas membantu THT menumpaskan kelab Australia, Territory Stingers 4-1 dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil semalam.
Faizal yang berhasil meledak 19 gol peribadi pada saingan MHL setakat ini dalam masa sama optimis mampu menambah koleksi jaringannya pada Piala TNB nanti.
"Peluang untuk muncul penjaring terbanyak masih terbuka, buat masa sekarang saya ada 19 gol dan ada baki tiga lagi perlawanan untuk Piala TNB," katanya.
Beliau turut memuji persembahan barisan pemain muda yang berjaya menampilkan semangat juang tinggi untuk melakar rekod tanpa kalah buat THT sepanjang saingan liga musim 2025.
THT akan berdepan Armed Forces HT pada aksi suku akhir Piala TNB esok.
Skuad bimbingan ketua jurulatih Mohd Harfizi Baharom itu dalam masa sama bakal berdepan cabaran hebat seteru terdekat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga dianggap pilihan utama dengan kehadiran ramai pemain kebangsaan serta pemain import berkualiti.
Untuk rekod, THT turut merampas Piala Sumbangsih 2025 daripada TNB yang meraih gelaran treble musim lepas (Piala Sumbangsih, Piala TNB, dan kejuaraan liga).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial