SUKAN > BERITA

THT UBAT KECEWA, JUARAI MHL 2025

16/02/2025 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Terengganu Hockey Team (THT) mengubati kekecewaan musim lalu apabila merampas takhta kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 dengan membelasah wakil Australia, Territory Stingers 4-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil di sini malam ini.

Kemenangan itu merupakan kali ketujuh buat THT, yang pernah menjuarai liga pada edisi 2014, 2015, 2016, 2018, 2022, dan 2023.

Terdahulu, THT hanya perlu meraih keputusan positif sebelum disahkan sebagai juara, menyaksikan penyerang prolifik Faizal Saari muncul wira apabila menyumbat kesemua empat gol (minit ke-14, 24, 32, 33), sekali gus menghadiahkan kemenangan bersih sembilan perlawanan sepanjang musim ini.

*"Alhamdulillah untuk perlawanan hari ini kerana pemain-pemain kita memang sudah bersedia dari segi mentaliti. Ini adalah perlawanan yang menjadi peluang untuk kita mengubati kekecewaan musim lalu.

"Pemain-pemain menggunakan peluang dengan baik dan mereka bermain bermati-matian hari ini bagi mendapatkan kejuaraan liga,"* kata ketua jurulatih THT Mohd Harfizi Baharom kepada pemberita ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mohd Harfizi dalam masa yang sama optimis kejayaan yang dilakar anak buahnya akan menjadi tonik terbaik buat THT, yang kini mengalihkan tumpuan bagi merebut Piala TNB minggu hadapan.

Untuk rekod, THT turut merampas Piala Sumbangsih 2025 daripada seteru terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meraih gelaran treble musim lalu (Piala Sumbangsih, Piala TNB, dan kejuaraan liga).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan