SUKAN > BERITA

KEN NEE TEKAD KEMBALIKAN SKUAD TERJUN KE PODIUM OLIMPIK

05/03/2025 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengarah Teknikal baharu skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee bertekad untuk memastikan wakil negara kembali menaiki podium di pentas Sukan Olimpik pada edisi seterusnya di Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau percaya misi itu mampu direalisasikan memandangkan Malaysia mempunyai barisan penerjun muda yang berbakat, walaupun mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Justeru, bekas penerjun yang pernah beraksi di Sukan Olimpik di Sydney 2000 dan London 2012, berkata beliau akan menggunakan pengalaman yang dimiliki sebelum ini untuk mengasah lagi kemahiran dan bakat penerjun negara untuk mencapai tahap terbaik.

“ Berdasarkan rekod baru-baru ini, tahap skuad terjun kami belum sampai (podium).Jadi sebagai pengarah baharu, saya akan cuba sedaya upaya dan membantu apa sahaja yang termampu untuk mengembalikan kegemilangan itu.

“Tugas saya ialah membina pasukan baharu dan kami mahu mempunyai lebih ramai bakat pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, Renang Malaysia (MS) mengumumkan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan berkuat kuasa Isnin lepas, menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatannya pada Disember lalu.

Setiausaha Agung MS Andy Low berkata bekas atlet berusia 41 tahun itu dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam kolam terjun. 

Dalam pada itu, Ken Nee turut berharap mampu untuk mengekalkan rekod cemerlang skuad terjun negara di pentas Sukan SEA yang dijadual berlangsung di Thailand, Disember ini.

Menurutnya empat acara akan dipertandingkan di temasya dwitahunan iaitu, 1 meter (m) papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal individu dan seirama lelaki serta 10m platform seirama wanita.

“Kami belum memutuskan sama ada akan menghantar penerjun junior atau senior ke Sukan SEA,” katanya.

Skuad terjun Malaysia meraih pingat sulung Olimpik, iaitu gangsa acara 10m platform wanita, menerusi Datuk Pandelela Rinong pada edisi 2012, manakala gandingan Pandelela dan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong meraih perak acara 10m platform seirama wanita di Rio 2016.

Namun, skuad terjun negara pulang tangan kosong pada dua edisi terakhir, iaitu di Tokyo 2020 dan Paris 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan