KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Hector Bidoglio percaya bahawa bermain di laman sendiri akan memberikan kelebihan penting apabila berdepan Buriram United dari Thailand pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa depan.
Ini susulan selepas Harimau Selatan mengekang asakan Buriram United bagi memastikan keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Buriram, malam tadi.
Walaupun jurulatih kelahiran Argentina itu menjangkakan pertembungan sengit di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, beliau percaya kelebihan beraksi di tempat sendiri akan memberi JDT platform untuk menunjukkan potensi sebenar mereka.
“Perlawanan seterusnya juga sukar tetapi kami akan bermain di tempat sendiri dengan padang, cuaca dan sokongan penyokong yang berbeza... jadi kami perlu menunjukkan potensi kami. Keputusan ini (0-0) adalah baik tetapi di tempat sendiri, kami perlu menang dan memenuhi sasaran layak ke pusingan seterusnya,” katanya seperti yang dipetik di www.the-afc.com.
Mengulas keputusan seri 0-0 malam tadi, beliau melahirkan rasa puas hati dengan persembahan pertahanan mantap pasukannya.
Bidoglio mengakui bahawa keserasian pemain dan barisan pertahanan begitu berdisiplin menyukarkan Buriram untuk menembusinya.
Bagaimanapun, beliau menekankan perlunya penambahbaikan dalam penguasaan bola ketika mereka bersiap sedia untuk perlawanan timbal balik.
“ Perlawanan itu sukar tetapi pembentukan benteng pertahanan dan pasukan bermain dengan sangat baik. Kami mengamalkan corak permainan kompak dan penguasaan bola perlu diperbaiki bagi aksi kedua di SSI.
“Setiap kali mendapat bola, kami mendapati sukar untuk mencari hantaran (yang tepat) atau ruang. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pemain kerana mereka bermain sebagai satu pasukan dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Perlawanan timbal balik akan menjadi pertemuan ketiga antara JDT dan Buriram dalam ACL Elite musim ini, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam peringkat liga di SSI, Disember lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial