KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah lebih jauh di Masters Orleans, Perancis tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain bukan pilihan dari Ireland, Nhat Nguyen pada peringkat suku akhir awal pagi tadi waktu Malaysia.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Palais des Sports, Nguyen hanya memerlukan 39 minit untuk mencatat kemenangan 23-21, 21-7 ke atas Zii Jia, yang turun sebagai pilihan utama kejohanan.
Kemenangan itu membolehkan Nguyen memecahkan rekod tanpa kemenangan dalam tiga pertemuan terdahulu dengan Zii Jia. Pemain Ireland itu kini bakal berdepan wakil tuan rumah, Alex Lanier, di separuh akhir hari ini.
Sebagai rekod, ini merupakan kejohanan pertama yang disertai Zii Jia musim ini selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami ketika Jelajah Dunia BWF, Disember lepas.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan kemaraan selepas menundukkan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Poh Hsuan, 21-19, 21-18.
Mereka kini bersedia menghadapi cabaran getir menentang pilihan utama kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang, buat kali pertama di separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial