SUKAN > BERITA

SELURUH ENGLAND: SOON HUAT-SHEVON TERUSKAN PERJUANGAN, JUN HAO TUMPAS

11/03/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dipaksa bermandi peluh sebelum menundukkan pasangan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 hari ini.

Dalam saingan berprestij Super 1,000 di Utilita Arena, Birmingham itu, Soon Huat-Shevon yang turun selaku pilihan utama kejohanan mencatat kemenangan 22-20, 9-21 dan 21-18 dalam tempoh 60 minit.

Shevon berkata beliau dan suaminya Soon Huat saling mengingatkan satu sama lain untuk kekal tenang setiap kali berpeluang meraih mata pada set ketiga bagi memastikan mereka memulakan kempen dengan langkah kanan. 

“Sudah pasti untuk perlawanan pertama, saya benar-benar perlu menenangkan fikiran saya dan memastikan diri saya tenang. Saya tahu, saya tidak boleh tergesa-gesa bermain atau tidak sabar. Jika anda hilang kesabaran dan mula tergesa-gesa, mereka akan mendapat mata mudah.

“Pada set kedua, kami membuat kesilapan, terburu-buru dalam permainan dan mahu menamatkannya secepat mungkin, yang menyebabkan kami tewas dengan mudah. Pada set ketiga, kami saling mengingatkan untuk tidak tergesa-gesa, kekal tenang dengan setiap pukulan, dan itu membantu kami,” katanya menerusi audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada media. 

Kemenangan kali kedua ke atas pasangan sama pastinya menyuntik semangat Soon Huat-Shevon untuk menghadapi Alexander Dunn-Julie Macpherson dari Scotland bagi merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Roon-Cheng Su Yin tersingkir di pusingan pertama selepas tunduk kepada pasangan Korea Selatan Ki Dong Ju-Jeong Na Eun dalam straight set 17-21, 18-21.

Turut mengalami nasib sama ialah pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao yang tewas 11-21, 19-21 kepada juara bertahan Jonatan Christie dari Indonesia dalam tempoh 41 minit.

Jun Hao, ranking ke-24 dunia yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij itu kini mempunyai dua rekod kekalahan kepada pemain nombor dua dunia berkenaan termasuk pada Terbuka Denmark 2024.

Dalam kategori beregu lelaki, Wan Muhammad Arif Junaidi-Yap Roy King turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan China Huang Di-Liu Yang, 18-21, 21-16, 17-21.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan