SUKAN > BERITA

SELURUH ENGLAND: PASANGAN KOREA SELATAN SEKAT KEMARAAN SZE FEI-NUR IZZUDDIN KE SUKU AKHIR

14/03/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Hasrat untuk melihat beregu lelaki negara terus bersaing di Seluruh England lebur selepas gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas di pusingan kedua di Birmingham, pada Khamis.

Pasangan profesional yang juga pilihan kedua itu gagal ke suku akhir selepas tewas kepada Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 16-21, 13-21 di Utilita Arena Birmingham.

Pasangan kedua dunia itu mengalami nasib sama seperti lima gandingan Malaysia termasuk bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang tersingkir seawal pusingan pertama.

Harapan Malaysia kini terletak pada dua pasangan beregu lagi iaitu gandingan wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang meneruskan perjuangan di kejohanan badminton tertua di dunia itu.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelima akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida manakala pilihan utama, Soon Huat-Shevon dijadualkan berdepan pasangan China Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping di suku akhir hari ini.

Pearly-Thinaah sebelum itu menyingkirkan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 21-14.

Soon Huat-Shevon pula membuktikan kehebatan mereka apabila mengambil masa 25 minit sebelum menewaskan pasangan Scotland Alexander Dunn-Julie MacPherson 21-9, 21-10.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan