SUKAN > BERITA

NURUL IZZAH DITIMPA MALANG DALAM PERLUMBAAN KEIRIN DI TURKIYE

17/03/2025 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berdepan detik malang apabila terbabit kemalangan ketika saingan acara keirin  di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Turkiye, semalam.

Dalam saingan di Velodrom Konya, Nurul Izzah yang berlumba dalam pusingan pertama repechage terjatuh selepas berlanggar dengan Makaira Wallace dari Trinidad and Tobago ketika cuba memintas lawannya itu. 

Nurul Izzah yang terbaring di trek tidak meneruskan kayuhan sekali gus tidak dapat menamatkan perlumbaan, manakala Wallace mengakhiri saingan di tempat ketiga.

Pelumba berusia 21 tahun itu terpaksa berlumba di pusingan repechage selepas menamatkan saingan di tempat keempang dalam saringan enam.

Sabtu lepas, pelumba kelahiran Sungai Petani, Kedah itu meleburkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara pecut individu di kejohanan sama selepas merakam kepantasan 10.578 saat (s) dalam pusingan kelayakan.

Catatan itu memadam rekod 10.658s yang dilakukannya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Nilai bulan lepas.

Kejohanan Piala Negara-Negara UCI yang bermula Jumaat lepas melabuhkan tirainya semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan