KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menawarkan peluang istimewa kepada negara bagi membentuk dasar serantau yang mementingkan akauntabiliti dan akses kepada keadilan dalam semua bidang, termasuk sukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara ini penting dalam memastikan akses yang sama rata kepada keadilan, dengan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) memainkan peranan utama dalam hubungan antara undang-undang dengan sukan.
Beliau berkata Malaysia bersedia memperkukuh penyelesaian pertikaian sukan melalui FORUM ADR Sukan ASEAN 2025 pada Mei ini.
"Forum ini bertujuan menyatukan atlet dan pakar dari seluruh ASEAN untuk membentuk visi bersama bagi industri sukan," katanya pada prapelancaran forum berkenaan di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Almalena Sharmila Johan.
Azalina berkata tema forum tahun ini ialah "Memastikan Permainan Adil: Memajukan Penyelesaian Pertikaian Sukan di Asia", menekankan kepentingan keadilan dan akses kepada keadilan dalam dunia sukan.
"Dengan semangat ini, Forum ADR Sukan ASEAN 2025 berhasrat menggabungkan aspirasi setiap negara anggota ASEAN ke dalam satu visi yang memperkukuh industri sukan," katanya.
Beliau berkata kerjasama antara BHEUU, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan AIAC ialah langkah penting dalam mengintegrasikan kepakaran undang-undang dan sukan.
"Forum ini akan menjadi platform untuk meningkatkan kerjasama perundangan, memperbaik akses kepada keadilan, dan menyokong integrasi ekonomi menerusi penyelesaian pertikaian yang berkesan," katanya.
Kerjasama antara BHEUU, KBS dan AIAC katanya, ialah langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus sukan di seluruh ASEAN.
"Dengan menggalakkan pembangunan dasar, reformasi perundangan dan penyelesaian pertikaian yang berkesan, kita dapat memupuk integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan dalam pentadbiran sukan, memastikan semangat kesukanan terus berkembang di rantau ini," katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan