SUKAN > BERITA

TUN AMEERUL LUQMAN CIPTA SEJARAH JUARA JELAJAH PBA

19/03/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Jaguh tenpin boling negara Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam melakar sejarah apabila muncul wakil negara pertama meraih gelaran juara Jelajah Professional Bowlers Association (PBA) di Amerika Syarikat, semalam.

Atlet berusia 25 tahun itu dinobatkan sebagai juara PBA Chameleon selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat, Kevin McCune 269-227 dalam saingan akhir stepladder di National Bowling Stadium Reno, Nevada.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook PBA, Tun Ameerul Luqman menyifatkan kemenangan bersejarahnya itu sebagai satu pencapaian yang menakjubkan.

“Ia amat menakjubkan muncul juara Jelajah PBA, yang juga gelaran pertama saya. Ia adalah untuk semua rakyat Malaysia. Saya sayang anda semua dan terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Terdahulu, Tun Ameerul Luqman mendominasi pusingan kelayakan dan mengesahkan slot untuknya ke peringkat akhir stepladder.

Tun Ameerul Luqman bermula dengan baik apabila mengatasi pemain Amerika Syarikat Boog Krol dengan 237-226, 216-247, 268-267, 279-187 dan meneruskan momentum cemerlangnya untuk menewaskan juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden Jesper Svensson dengan 245-214, 245-228, 254-215.

Kemenangan itu menyaksikan atlet berkenaan membawa pulang US$20,000 (kira-kira RM88,618) dan piala.

Juara dunia 2018 Muhammad Rafiq Ismail terlepas peluang muncul wakil negara pertama memenangi Jejalah PBA selepas tewas kepada Rasmus Edvall dai Sweden 172-224 dalam saingan final stepladder PBA Scropion Championship.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan