JOHOR BAHRU, 19 Mac (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya di bawah pengendali baharu Peter Cklamovski perlu berhati-hati dengan barisan baharu Nepal menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa depan.
Pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin, yang pernah beraksi menentang pasukan di ranking ke-175 dunia itu dalam aksi persahabatan pada Mac tahun lepas, berkata mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan 'The Gorkhalis’.
"Mereka dijangka akan menurunkan pasukan yang berbeza daripada kali terakhir kami menentang mereka dalam perlawanan persahabatan itu.
Malah, katanya, rekod kemenangan 5-1 dalam aksi persahabatan tahun lepas tidak boleh dijadikan ukuran bahawa ia akan menjadi tugas mudah untuk mengulangi pencapaian tersebut.
Perlawanan persahabatan itu diadakan sebagai pemanas badan bagi persiapan menghadapi Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
"Jadi, kami pasti akan melihat bagaimana mereka bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura.
Kami akan melakukan analisis ke atas mereka pada hujung minggu ini dan akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan nanti," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemain warisan itu bertekad untuk memberikan prestasi terbaik dalam sesi latihan bagi memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan.
Beliau berkata latihan berintensiti tinggi yang diterapkan oleh Cklamovski akan mendorong pemain untuk bersaing dan kekal fokus sepenuhnya pada tahap tertinggi.
"Setiap jurulatih mempunyai pendekatan yang berbeza. Apabila ada staf kejurulatihan baharu, mereka membawa cara tersendiri tetapi saya rasa ini adalah perkara yang baik untuk permulaan baharu.
Saya rasa persaingan dalam latihan sangat tinggi kerana terdapat ramai pemain berkualiti, sama ada dalam skuad kebangsaan mahupun di luar.
“Tahap persaingan ini hanya akan mendorong setiap pemain mencapai potensi maksimum mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial