AM > BERITA

Maritim Malaysia Atur Gerak Lapan Aset Pada Perayaan, Kerjasama Dengan Filipina

19/03/2025 09:55 PM

SANDAKAN, 19 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan meningkatkan pengoperasian menjelang musim perayaan dengan mengatur gerak sehingga lapan aset di laut di sini, bagi menangani jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan Komander Maritim Ahmad Firdaus Shaari berkata selain itu pihaknya juga turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dalam memperkukuh lagi kawalan keselamatan.

“Kita ada kerjasama dengan Philippine Coast Guard serta Philippine Navy dalam menjamin keselamatan sempadan laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Firdaus berkata kerjasama itu dibuktikan melalui bantuan menyelamat enam mangsa bot karam dari Filipina yang hanyut ke perairan negara pada Ahad.

“Maritim Malaysia Sandakan menerima maklumat terdapat sebuah kapal yang bergerak dari Turtle Island di Taganak, Filipina menuju ke Tawi-Tawi, Filipina, karam dan sebahagian mangsa hanyut ke perairan Malaysia.

“Kita telah mengatur dua aset Halilintar 4 dan KM Belud menuju ke lokasi yang mengambil masa lebih kurang satu jam berikutan cuaca buruk dan berjaya menemukan enam mangsa iaitu tiga lelaki, dua wanita serta seorang kanak-kanak yang hanyut. Mereka berjaya diselamatkan dan di bawa ke Sandakan,” katanya lagi.

Beliau berkata kesemua mangsa berumur antara 11 hingga 45 tahun itu diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina di sempadan perairan Malaysia-Filipina pada 10.30 pagi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan