SUKAN > BERITA

SAM DAPAT PEJABAT BAHARU DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL

20/03/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pejabat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) yang terletak di bangunan Wisma OCM di Jalan Hang Jebat akan berpindah ke lokasi baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada minggu kedua April.

Presiden SAM Norismadi Abdul Manap berkata ruang pejabat berukuran 40 kaki itu akan menjadi pusat sehenti kepada ahli-ahli persatuan yang membuat liputan di SNBJ serta kawasan sekitarnya.

“Kita nak ucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana selepas berusaha sekian lama akhirnya permohonan kita untuk dapatkan ruang pejabat baharu di Stadium Nasional diluluskan. Pejabat SAM akan beroperasi secara rasmi pada minggu kedua selepas Aidilfitri. 

“Dengan adanya pejabat di sana, ia memudahkan ahli-ahli SAM terutama ketika ada liputan di Stadium Nasional atau kawasan sekitarnya. Ahli boleh datang awal dan melakukan kerja di ruang yang selesa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa KBS-SAM di sini semalam, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Sementara itu, Norismadi berkata SAM akan mempelbagaikan lagi aktiviti persatuan pada 2025 sebagai usaha mengeratkan hubungan antara pengamal media sukan di negara ini.

“Tahun lepas kita jalankan lebih kurang 39 program. Jadi harapan kita untuk tahun ini akan ada 30-40 program dan satu daripadanya majlis berbuka puasa yang kita adakan hari ini (semalam),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan