SUKAN > BERITA

ANITA AZRINA MAHU NAIK TARAF KEMUDAHAN SUKAN, KUKUHKAN KEWANGAN PSM

22/03/2025 12:51 PM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baru dilantik Anita Azrina Abdul Aziz, menetapkan matlamat untuk menaik taraf kemudahan sukan menjelang Sukan SEA 2027, serta memperkukuh kelestarian kewangan PSM dalam peranannya yang baru bermula semalam.

Anita Azrina yang sebelum ini merupakan timbalan pengerusi sejak 2023, menyifatkan pelantikan ini sebagai satu penghormatan besar dan berikrar untuk meneruskan kemajuan yang telah dicapai di bawah kepimpinan bekas Pengerusi Datuk Hans Isaac.

“Saya sertai PSM pada tahun 2023 sebagai timbalan pengerusi. Sejak itu, saya amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PSM. Saya telah bekerja dengan Datuk Hans dan akan meneruskan usaha baik yang telah beliau jalankan sejak 2023.

“Keutamaan utama termasuk menaik taraf kemudahan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027. Sebagai tuan rumah, Malaysia perlu memastikan semua kemudahan, infrastruktur, dan kesiapsiagaan keseluruhan mencapai piawaian global. Selain itu, kelestarian PSM melalui pelbagai usaha komersial seperti tajaan, penggunaan penuh kemudahan (konsert, sukan, acara) turut menjadi fokus utama,” katanya kepada Bernama.

Dengan pengalaman luas dalam kepimpinan korporat, termasuk pemasaran, pembangunan perniagaan, pengurusan acara dan tajaan di PETRONAS, Anita Azrina yakin beliau memiliki keupayaan yang diperlukan untuk memegang jawatan itu.

“Di PETRONAS, saya didedahkan kepada pelbagai aspek dunia korporat seperti pemasaran dan perdagangan, pembangunan perniagaan, penganjuran acara dan persidangan, komunikasi, penjenamaan, pengurusan pihak berkepentingan, CSR serta tajaan dan penjenamaan.

“Dengan pendedahan sebegini, terutamanya di peringkat global, saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya juga seseorang yang gemar menghadapi cabaran dan perubahan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berhasrat menjadikan kemudahan yang diuruskan PSM sebagai hab utama bagi sukan kebangsaan dan komuniti, serta acara hiburan.

Beliau berkata beberapa projek utama sedang dijalankan, termasuk menggantikan trek di Stadium Nasional Bukit Jalil, menaik taraf stadium skuasy dan menambah baik kemudahan boling padang.

“PSM telah menguruskan kemudahan ini dengan baik, tetapi kebanyakan kemudahan kita sudah lama dan memerlukan naik taraf atau penggantian. Ini, seperti yang kita tahu memerlukan pelaburan besar, sumber yang mencukupi dan masa,” katanya.

Dalam memastikan penyelenggaraan berterusan dan kelestarian kewangan, Anita Azrina memberi tumpuan kepada peningkatan tajaan, memaksimumkan penggunaan kemudahan untuk konsert dan acara, serta mengintegrasikan penyelesaian digital bagi meningkatkan kecekapan.

“Inilah sebabnya mengapa kami mahu memberi lebih fokus kepada aspek komersial... dengan peningkatan pendapatan, kami dapat melabur semula dalam kemudahan, memperbaiki pengalaman atlet, penonton konsert, penyokong sukan dan dalam jangka panjang, memastikan kelestarian PSM.

“Kami juga menekankan keperluan untuk kawalan dan mekanisme semak dan imbang bagi memastikan kecekapan serta tadbir urus yang baik,” katanya.

Anita Azrina berharap dalam tempoh dua tahun akan datang, PSM dapat mencapai kestabilan kewangan dan menjadikan kemudahannya sebagai lokasi utama negara bagi sukan serta acara hiburan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan