KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Nilai kebersamaan dan kekeluargaan menjadi tema video raya Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tahun ini, sebagai motivasi kepada mereka yang sedang melalui saat kesukaran, terutama dalam isu kewangan, untuk bangkit semula.
Mengajak orang ramai menonton ‘Deria Raya’ di media sosial rasminya @AKPKofficial, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata video itu mencerminkan nilai dan komitmen agensi berkenaan, iaitu tiada siapa seharusnya berjuang sendirian tanpa bantuan dan sokongan dalam menghadapi cabaran hidup.
“Setiap individu berhak menerima sokongan yang diperlukan untuk mengatasi kesukaran dan bangkit semula. Inilah nilai kebersamaan yang sebenar.
”Dengan nilai kebersamaan yang kukuh dan sokongan berterusan serta keazaman individu itu sendiri untuk bangkit dan mengubah keadaan, pasti ada sinar harapan baharu untuk mengatasi cabaran tersebut bersama-sama,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Deria Raya mengisahkan perjalanan penuh emosi Hashimah dan keluarganya yang menghadapi cabaran besar sepanjang Ramadan dan persediaan Syawal, selepas abang sulungnya kehilangan penglihatan akibat kemalangan.
Abang sulung yang dahulu ceria, kini menyepi dan merasakan Hari Raya telah hilang maknanya namun keluarganya berusaha mewujudkan semangat kekuatan dan harapan dengan kasih sayang mendalam, ikatan kekeluargaan yang kukuh dan kepercayaan tidak berbelah bahagi.
Azaddin berkata AKPK sentiasa berusaha menyediakan jalan keluar dan memberikan sinar harapan baharu kepada mereka yang mungkin sudah buntu dan berputus asa dengan cabaran kewangan.
“Oleh itu, kami menyeru orang ramai yang menghadapi masalah kewangan untuk segera mendapatkan bantuan awal. Rujuk dan berbincanglah dengan institusi kewangan yang terlibat atau hubungi kami di AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan atau pengurusan hutang secara percuma dan holistik.
“Kami percaya setiap individu berhak mendapat peluang kedua untuk membina semula kehidupan mereka dan mencapai ketenangan hati serta minda,” katanya.
AKPK katanya menekankan betapa pentingnya mendapatkan pengetahuan kewangan yang tepat dan bimbingan yang betul agar individu tidak terperangkap dalam situasi kewangan yang membebankan.
Ditubuhkan pada 2006, agensi itu sehingga Disember 2024 telah memberi manfaat kepada lebih 1.4 juta individu menerusi khidmat nasihat kewangan dan daripada jumlah tersebut, hampir 550,000 peminjam mendaftar untuk Program Pengurusan Kredit (PPK).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial