SUKAN > BERITA

MPL MALAYSIA KEMBALI 19 APRIL DENGAN DUA FASA PLAYOFF

25/03/2025 09:14 AM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Musim baharu Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia yang bermula pada 19 April akan menyaksikan playoff dibahagikan kepada dua fasa.

Perlawanan playoff musim 15 yang ditetapkan untuk berlangsung sepanjang dua hujung minggu akan menyaksikan fasa satu berlangsung pada 30 dan 31 Mei manakala fasa dua pada 14 dan 15 Jun.

Ketua e-sukan (Inkubasi MY dan SEA) MOONTON Games Siew Hao Zhen berkata mereka telah menyemak semula format playoff bagi meningkatkan lagi pengalaman peminat.

“Pada musim-musim sebelumnya, playoff akan berlangsung dari Khamis hingga Ahad, ini menyebabkan beberapa peminat tidak dapat menghadiri perlawanan hari minggu kerana komitmen seperti sekolah dan kerja.

"Sekarang kami akan melakukannya pada kedua-dua hujung minggu, Sabtu dan Ahad. Kami percaya format baharu itu lebih sejajar dengan jenama liga kami sebagai komuniti inklusif dan mesra keluarga," katanya ketika ditemui pada Malam Iftar Infinix 2025: Memperkasakan Masa Depan bersama MPL Malaysia, di sini, malam tadi.

Musim ke-15 akan kembali dengan format dua peringkat yang sama terdiri daripada musim biasa diikuti playoff di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini.

Musim biasa akan menampilkan 10 pasukan MLBB terbaik negara yang akan bersaing setiap minggu dari 19 April hingga 25 Mei, dan enam pasukan terbaik dari musim biasa akan mara ke playoff.

Perlawanan pertama pada 19 April akan menjadi pertembungan semula dua pasukan yang berentap pada perlawanan akhir musim lepas, SRG dan Team Vamos.

Sementara itu Hao Zhen berkata mereka berbesar hati mengalu-alukan Infinix, jenama teknologi baru muncul untuk menjadi rakan kongsi telefon pintar permainan rasmi untuk MPL Malaysia.

Pengarah pemasaran Infinix Malaysia Wai Kiat Hong berkata kerjasama dengan MOONTON Games merupakan langkah besar untuk membentuk masa depan e-sukan di Malaysia, membawa inovasi kepada permainan mudah alih dan memastikan komuniti e-sukan mendapat akses kepada teknologi permainan terbaik.

Ditubuhkan pada 2014, MOONTON ialah syarikat permainan video global yang mengkhusus kepada pembangunan permainan, penerbitan dan e-sukan.

Mobile Legends: Bang Bang ialah permainan utama semasa dan permainan arena pertempuran dalam talian berbilang pemain mudah alih (MOBA) terkemuka di seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan