PETALING JAYA, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi lampu hijau kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dicalonkan sebagai presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025-2029.
Perkembangan itu disahkan Tengku Zafrul yang memaklumkan Perdana Menteri telah bersetuju untuk beliau diberi peluang berkenaan.
“Saya mahu ucapkan juga terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah bersetuju untuk saya diberi peluang menjadi Presiden BAM.
“Beliau (Perdana Menteri) memberi pertimbangan, memandangkan saya sebagai menteri sehingga bulan Disember ini, jadi selepas itu boleh beri fokus kepada BAM,” katanya kepada pemberita selepas Program Iftar Kasih Ukhwah anjuran Yayasan TZA di Kolej Komuniti Kelana Jaya (KKKJ) di sini hari ini.
Ogos lepas, Kabinet telah memutuskan bahawa anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri tidak boleh bertanding jawatan dalam mana-mana persatuan sukan.
Awal hari ini, Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.
Subramaniam berkata pencalonan itu mencerminkan keperluan kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi memacu persatuan itu ke hadapan.
Pemilihan BAM dijadualkan berlangsung pada 10 Mei ini semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk badminton negara berkenaan.
Menerusi hantaran di laman X, Tengku Zafrul yang menerima pencalonan tersebut, terharu dengan pengiktirafan itu selain kepercayaan terhadapnya untuk memimpin BAM.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan awal tahun lepas.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan sehingga tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selepas berakhirnya Paris 2024, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial