KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei optimis calon presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memiliki kewibawaan dalam memajukan sukan badminton di negara ini.
Chong Wei berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) amat beruntung jika Tengku Zafrul, yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menerima pencalonan itu kerana bukan mudah meyakinkan seseorang yang memiliki kaliber serta reputasi tinggi mengemudi badan induk sukan itu.
“Tengku Zafrul boleh memimpin BAM. Dia adalah seorang menteri yang berpengalaman selain memiliki pengalaman luas dalam bidang korporat bersama CIMB Group dan Maybank Investment Bank sebelum ini.
“Bukan mudah untuk BAM mencari calon yang terbaik dan Tengku Zafrul juga berkata ya. Dia juga suka sukan dan saya harap dia boleh membawa badminton dan sukan Malaysia ke tahap lebih baik pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu, Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.
Subramaniam berkata pencalonan itu mencerminkan keperluan kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi memacu persatuan itu ke hadapan.
Pemilihan BAM dijadualkan berlangsung pada 10 Mei semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton negara berkenaan.
Menerusi hantaran di laman X, Tengku Zafrul terharu dengan pengiktirafan BAM yang mencalonkan beliau sebagai presiden baharu bagi penggal 2025-2029.
Tengku Zafrul yang menerima pencalonan berkenaan mengucapkan terima kasih kepada BAM atas kepercayaan diberikan kepada beliau untuk memimpin persatuan itu.
Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan awal tahun lepas.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan sehingga tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selepas berakhirnya temasya di Paris, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM pada Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial