SUKAN > BERITA

TERUSKAN MENYOKONG, KAMI SEDANG CIPTA SESUATU LUAR BIASA - CKLAMOVSKI

26/03/2025 12:58 PM

ISKANDAR PUTERI, 26 Mac (Bernama) -- Kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam perlawanan pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, adalah pencapaian yang boleh diraikan oleh penyokong skuad Harimau Malaya. 

Pengendali skuad kebangsaan Peter Cklamovski memuji komitmen dan dedikasi pemainnya sambil menekankan bahawa pasukan sedang dalam usaha membina skuad yang lebih berdaya saing.

“Saya harap rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian pasukan dan pemain kerana berjaya meraih kemenangan dan terus menyokong usaha kami untuk membina sesuatu yang luar biasa buat negara.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana menyediakan kem latihan ini. Pusat latihan, stadium, latihan di stadium, menginap di hotel hebat - ini adalah persekitaran profesional terbaik untuk kami membuat persiapan, sepadan dengan prestasi. Tanpa baginda semua ini tidak mungkin berlaku,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berkenaan malam tadi.

Skuad kendalian Cklamovski mendapat manfaat daripada kemudahan latihan dan stadium canggih milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang kem latihan pusat selama lapan hari di Johor Bahru sebelum perlawanan menentang Nepal.

Pada perlawanan malam tadi, pemain warisan baharu Hector Hevel meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-29 sebelum pertahanan Corbin Ong menggandakan jaringan pada minit ke-71 untuk memastikan kemenangan skuad negara.

Ia adalah kemenangan pertama jurulatih dari Australia itu sejak diumumkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Disember lepas.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi, Vietnam bermula dengan cemerlang apabila menang besar 5-0 ke atas Laos di Stadium Binh Duong, sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan dengan tiga mata, sama dengan Malaysia di tempat kedua.

Malaysia akan menerima kunjungan Vietnam pada 10 Jun sebelum berdepan Laos pada 9 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan