KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu diharap dapat memperbaiki sistem pentadbiran bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan badan induk itu lebih berkesan pada masa depan.
Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berkata presiden sebelum ini Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah memainkan peranan penting dalam pembangunan badminton Malaysia termasuk melahirkan juara dunia serta membantu kejayaan negara di Sukan Olimpik.
“Sebelum ini, Mohamad Norza telah mainkan peranan penting, dapat tingkatkan mutu sukan badminton hingga dapat pingat Sukan Olimpik.
“Harapan yang baharu ( presiden) seboleh-bolehnya lebih baik daripada beliau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Astro Arena, Dipertua Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) dan Milo hari ini.
Antara pencapaian sepanjang Mohamad Norza sebagai Presiden BAM selama dua penggal ialah pencapaian beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mencipta sejarah apabila meraih gangsa di Sukan Olimpik 2020 dan 2024 selain bergelar juara dunia pada 2022.
Semalam, BAM mengumumkan pencalonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Presiden BAM bagi penggal 2025-2029, yang mendapat sokongan majoriti ahli lembaga majlis badan induk itu.
Pemangku Presiden BAM Datuk V Subramaniam memaklumkan pemilihan dijangka berlangsung semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM pada 10 Mei ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial