KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky menyifatkan tindakan memisahkan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei adalah untuk kedua-dua pemain itu bermuhasabah diri terhadap kemelut dialami mereka ketika ini.
Rexy berkata beliau dan ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto memutuskan untuk menggandingkan Tang Jie dengan Chan Wen Tse, manakala Ee Wei pula berpasangan dengan Loo Bing Kun pada lima kejohanan bermula Mei ini, untuk menilai semula hala tuju pasangan keempat dunia itu selepas ini.
Beliau berkata Tang Jie dan Ee Wei akan digandingkan dengan pasangan baharu mereka pada Terbuka Taiwan (6-11 Mei), Terbuka Thailand (13-18 Mei), Masters Malaysia (20-25 Mei), Terbuka Singapura (27 Mei-1 Jun) dan Terbuka Indonesia (3-8 Jun).
Bagaimanapun, beliau dan Nova meletakkan tiga kejohanan awal iaitu Terbuka Taiwan, Terbuka Thailand dan Masters Malaysia sebagai penanda aras, untuk melihat sama ada eksperimen tersebut benar-benar menjadi atau sebaliknya.
“Kita lihat bahawa kebiasaannya Ee Wei tidak mahu kalah, manakala Tang Jie pula kerap senyap dan situasi ini yang memberi kesan pada hubungan mereka seterusnya (prestasi) tidak konsisten.
“Maka tujuan (perpisahan) ini untuk mereka lihat dapat pandangan jelas siapa mereka dan pasangan sebenar mereka…mungkin satu ketika Ee Wei akan sedar dia dengan Tang Jie lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Rexy juga menyifatkan kenyataan Tang Jie yang masih sayangkan Ee Wei seperti dilaporkan media baru-baru ini juga amat positif, sekali gus memberi sinar harapan mereka akan disatukan kembali pada satu hari nanti.
Beliau berkata Tang Jie dan Ee Wei juga boleh mengambil iktibar dengan kisah beregu lelaki profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang pernah dipisahkan sementara waktu sebelum ini dan muncul pasangan kedua terbaik dunia ketika ini, selepas bersetuju untuk digandingkan semula apabila kurang menyerlah dengan pasangan masing-masing.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan meneruskan gandingan baharu antara Tang Jie-Wen Tse dan Ee Wei-Bing Kun, seandainya kedua-dua pasangan tersebut menyerlah selepas lima kejohanan tersebut.
Pakar beregu dari Indonesia pada masa sama berkata langkah tersebut juga mampu membantu Wen Tse dan Bing Kun untuk melonjakkan prestasi mereka, dengan mengutip pengalaman berharga beraksi bersama Tang Jie dan Ee Wei yang kini muncul pasangan keempat terbaik dunia.
Sementara itu, Rexy memaklumkan dia dan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Herry Iman Pierngadi menunaikan hasrat Tang Jie yang ingin beraksi dalam acara beregu lelaki sepanjang tempoh perpisahan dengan Ee Wei.
Justeru, beliau berkata pemain berusia 27 tahun itu akan bergandingan bersama Wong Vin Sean untuk Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand kali ini.
Awal hari ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Tang Jie-Ee Wei dipisahkan untuk kejohanan akan datang, susulan cadangan daripada panel kejurulatihan termasuk Rexy dan Nova pada mesyuarat jawatankuasa prestasi baru-baru ini
Ketegangan dalam hubungan mereka dikatakan bermula sejak temasya Sukan Olimpik Paris 2024, di mana mereka tersingkir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 19-21, 14-21.
Baru-baru ini, Ee Wei memadamkan semua gambar bersama Tang Jie di akaun Instagramnya, susulan kekalahan mereka di pusingan pertama All England 2025.
Mengenai penstrukturan semula kejurulatihan utama BAM, Rexy yang sebelum ini merupakan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia sememangnya bersetuju dengan langkah tersebut dan tugas baharunya memandangkan saingan beregu merupakan kepakaran serta minatnya.
Selasa lepas, penstrukturan itu turut menyaksikan Ketua Jurulatih Perseorangan Kenneth Jonassen dari Denmark kini memegang jawatan pengarah kejurulatihan perseorangan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial