SUKAN > BERITA

YAKEB DEKATI IKON SUKAN, PERKASA KEBAJIKAN BEKAS ATLET

26/03/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) berhasrat mendekati beberapa ikon sukan negara termasuk Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David bagi menyertai inisiatif mereka dalam membantu bekas atlet kebangsaan.

Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya mahu melibatkan lebih ramai bekas atlet berjaya untuk berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada ahli yayasan itu.

“Insya-Allah, kami akan cuba dekati nama-nama besar seperti Chong Wei dan Nicol David untuk bersama-sama YAKEB. 

“Contohnya jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou, beliau memberi bantuan dengan menyelaraskan inisiatif untuk membantu rakan-rakan YAKEB,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh YAKEB, Astro Arena, Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) dan Milo kepada 50 bekas atlet terpilih. 

Ahmad Shapawi berkata sumbangan itu adalah tanda penghargaan kepada mereka memerlukan dan YAKEB bercadang memperluas program itu dengan kerjasama lebih banyak pihak pada masa akan datang.

Lebih 3,000 bekas atlet, katanya kini berdaftar di bawah YAKEB, sekali gus menjadikan ia platform penting dalam menjaga kebajikan mereka.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan