SUKAN > BERITA

MSN LAKSANA PROGRAM PODIUM SUKAN SEA 2027 SEJAK AWAL 2024

24/03/2025 05:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) melaksanakan Program Podium sebagai persediaan atlet ke temasya Sukan SEA 2027 sejak awal tahun lepas.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia dilaksanakan dengan mengenal pasti kelompok atlet berdasarkan kriteria pemilihan ditetapkan, iaitu yang berada pada kedudukan antara empat hingga enam di peringkat Asia Tenggara.

“Pelaksanaan Program Podium yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh MSN dengan kerjasama pihak berkepentingan utama.

"Bukan sahaja program penyediaan atlet ke Sukan SEA 2025 malah ia turut merangkumi program persediaan ke Sukan Komanwel/Asia 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai persiapan dan pelan hala tuju KBS sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dan langkah jangka panjang bagi persiapan atlet negara untuk Sukan Komenwel, Asia dan Olimpik yang akan datang. 

Hannah berkata KBS telah menyediakan peruntukan kewangan mencukupi bagi menguruskan latihan atlet terbaik di bawah Program Podium supaya prestasi mereka dapat ditingkatkan melalui program latihan yang disediakan oleh jurulatih.

“Sudah semestinya peruntukan kewangan yang disediakan ini akan digunakan sewajarnya dalam menyediakan atlet ke arah prestasi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata bagi persediaan atlet ke Sukan SEA 2027, MSN akan melaksanakan fasa pertama program penyediaan atlet sebaik sahaja Sukan SEA 2025 berakhir.

Sebanyak RM146 juta dijangka diperlukan bagi kos penyediaan atlet ke edisi 2027, iaitu peningkatan 20 peratus berbanding RM122 juta yang dibelanjakan khusus untuk program penyediaan atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan