KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menasihatkan para pemain badminton negara agar tidak mengejar jalan pintas sekiranya mahu bergerak secara profesional.
Hannah berkata tidak semua pemain yang memilih haluan profesional menikmati infrastuktur sokongan yang padu daripada penaja masing-masing.
“Kadang-kadang rezeki (tajaan) ini jalan pintas dan nampak lumayan tetapi tidak semestinya berkekalan. Bila tiada ranking, mereka (penaja) tinggalkan atlet dan atlet tidak tahu mana nak cari bantuan.
“Saya tahu untuk atlet profesional memang sukar mencari penaja kerana mereka perlu gunakan daya usaha sendiri dapatkan dana … bukan semua atlet profesional boleh jadi seperti Lee Zii Jia. Disebabkan itu jangan terikut-ikut …,” katanya selepas majlis penyampaian insentif kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Segambut di sini hari ini.
Antara kejayaan manis Zii Jia yang juga pemain perseorangan lelaki sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2022 adalah menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2022 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selain Zii Jia, beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar pencapaian membanggakan dengan merangkul empat gelaran sejak meninggalkan BAM Ogos lepas selain muncul gandingan kedua terbaik dunia ketika ini.
Baru-baru ini, timbul spekulasi masa depan beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah menjadi tanda tanya selepas mereka dikhabarkan belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM yang tamat Januari lepas dan sedang merancang meninggalkan badan induk itu.
Pada masa sama, Hannah mengingatkan para penaja, termasuk syarikat korporat agar menunaikan apa yang dijanjikan kepada pemain badminton mahupun atlet seandainya mereka mencipta kejayaan dalam kejohanan disertai.
Beliau juga mempelawa pemain badminton profesional untuk memberi sedikit sumbangan hasil daripada ganjaran, termasuk insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) untuk pembangunan bakat-bakat muda di dalam negara.
Dalam perkembangan lain, Hannah mengumumkan dua pemain boling padang negara iaitu Nor Farah Ain Abdullah dan Izzat Shameer Dzulkeple ke dalam Program Podium.
Nor Farah Ain mencipta sensasi dengan mencuri perhatian selepas berjaya melakar sejarah meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, April tahun lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu juga memberi sumbangan besar kepada skuad negara apabila membantu meraih pingat gangsa dalam acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer yang juga pemenang pingat perak acara individu lelaki pada kejohanan sama.
Kejayaan berkenaan menyaksikan Nor Farah Ain muncul pemain nombor satu dunia manakala Izzat Shameer pula menduduki tangga kelima dunia ketika ini.
Hannah berkata kemasukan Nor Farah Ain dan Izzat Shamer membantu mereka untuk menyertai lebih banyak kejohanan, termasuk di peringkat antarabangsa sekali gus mengukuhkan ranking mereka.
Seramai 608 atlet kini berada di dalam Program Podium merangkumi 357 atlet lelaki dan 251 pula wanita, melibatkan 20 jenis sukan.
Menyentuh mengenai majlis hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata seramai 50 murid yang cemerlang dalam sukan menerima wang tunai RM100 seorang bagi membantu mereka membeli peralatan sukan sekali gus terus berjaya dalam sukan disertai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial