SUKAN > BERITA

PANG RON-SU YIN KECUNDANG LAGI, NOVA TEKANKAN ISU TEKANAN DAN FOKUS

11/04/2025 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto tidak terkejut dengan prestasi ditunjukkan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang terkeluar seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China baru-baru ini.

Nova berkata pihaknya sudah menjangkakan keputusan itu yang kemungkinan disebabkan tekanan tinggi dirasai namun cara gandingan itu ‘melayani’ perlawanan tersebut menimbulkan tanda tanya.

“Nak kata terkejut tidak sangat tapi semasa set kedua dan ketiga mereka sudah macam hilang fokus, terutama Su Yin apabila kesilapan demi kesilapan dilakukan selepas mendahului 8-6 di set kedua.

“Semakin tinggi ranking mereka tekanan juga akan naik. Mereka harus kuat, pemain tidak boleh mudah ‘koyak’ dari segi mental. Jangan asyik fikir akan kekalahan sebelum ini,” katanya.

Nova berkata pemberita pada sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.

Justeru, beliau menuntut agar Pang Ron-Su Yin lebih bijak mengatasi tekanan seiring ranking ke-14 dunia dihuni mereka.

Pada Rabu lepas, Pang Ron-Su Yin meraih kemenangan 21-15 di set pertama berdepan gandingan India Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, namun gagal pada set kedua dan penentuan apabila tewas 12-21, 11-21.

Bulan lepas, Pang Ron-Su Yin turut terkandas seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Seluruh England.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan