SUKAN > BERITA

KOLEJ KOMUNITI JASIN MAHU LAHIR LEBIH RAMAI ATLET SUSULAN KEJAYAAN PASUKAN SEPAK TAKRAW

11/04/2025 07:50 PM

JASIN, 11 April (Bernama) -- Kolej Komuniti Jasin (KKJS) berhasrat melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi susulan kejayaan pasukan sepak takraw kolej itu merangkul Anugerah Pasukan Terbaik pada Anugerah Sukan Kolej Komuniti Malaysia 2024 (ASKK) malam tadi.

Pengarah KKJS Mohamad Kelana Juwit berkata kecemerlangan pasukan sepak takraw memberi inspirasi kepada KKJS untuk terus mengorak langkah bagi membantu memartabatkan sukan berkenaan pada masa akan datang.

“Sudah semestinya warga KKJS berasa bangga dengan kemenangan pasukan sepak takraw yang diketuai jurulatihnya Mohd Azuan Ali dan ia merupakan anugerah berprestij di peringkat Kolej Komuniti di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Kelana berkata pencapaian itu bukan sahaja membuatkan KKJS semakin bersemangat untuk mencipta pelbagai kejayaan pada masa akan datang untuk sukan sepak takraw malah dalam pelbagai sukan lain.

ASKK 2024 yang berlangsung di Seremban itu bermatlamat bagi mengiktiraf atlet yang menampilkan kecemerlangan dalam arena sukan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.  

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam hantaran di media sosial memaklumkan Pengiran Aidil Auf Hajam daripada Kolej Komuniti Sandakan diumumkan sebagai Olahragawan Kolej Komuniti manakala Olahragawati diraih wakil Kolej Komuniti Kuala Terengganu Siti Nurfazliyana Mohd Azrol Isham.

Mohd Fauzi Rahmat Sam daripada Kolej Komuniti Rompin pula menerima Anugerah Jurulatih Sukan Terbaik manakala Radzwin Ahmad (Kolej Komuniti Tawau) dipilih penerima Anugerah Ikon Sukan Kolej Komuniti.

Menurut hantaran itu keseluruhannya 11 anugerah disampaikan pada majlis berkenaan yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK Kamaludin Daud.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan