KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Malaysia perlu melaksanakan dasar sukan yang lebih serius dan menyeluruh jika mahu melihat peningkatan ketara dalam pencapaian atlet di peringkat antarabangsa, kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan tamat tempoh perkhidmatannya Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.
Mohd Nazifuddin berkata sistem pembangunan sukan sedia ada kini tidak mencukupi untuk menjamin kemunculan bakat baharu sekali gus menyebabkan prestasi negara kekal di takuk lama atau terus merudum.
“Saya cadangkan kita perlu ada keberanian untuk buat dasar yang serius dalam sukan kalau kita mengharapkan keputusan lebih tinggi daripada apa yang kita ada sekarang kalau tak, kita punya sukan yang terus menjadi tidak berkembang (stagnant) atau makin merudum.
“Sebab apa yang saya nampak sekarang, kumpulan bakat (pool) yang kita ada ini tidak mencukupi. Kita perlu banyak lagi, mungkin ada potensi dalam kalangan kita sekarang tapi kita tak tahu kerana tak diasah dan tak diberi peluang,” katanya pada sidang media di Pejabat Setiausaha Agung MOM di Wisma OCM di sini, hari ini.
Mohd Nazifuddin berkata temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dan Sukan SEA 2027 merupakan peluang terbaik untuk mencari dan melahirkan bakat baharu dalam kalangan atlet muda negara.
“Ini peluang kita untuk melahirkan atlet-atlet baharu. Kalau mereka jadi juara di Sukan SEA 2027, mereka akan jadi muka-muka baharu kita untuk ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik akan datang,” tambahnya.
Mohd Nazifuddin akan menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Agung MOM pada 19 April ini selepas memegang jawatan itu sejak 2018.
Sebagai rekod, beliau dipilih sebagai naib presiden MOM pada pemilihan sesi 2015/2017.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial