KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pemain beregu campuran profesional negara Shevon Lai Jemie sedia 'dipisahkan’ dengan gandingannya Goh Soon Huat sekiranya langkah itu mampu memberi dimesi baharu buat skuad negara pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China nanti.
Menurut Shevon, langkah itu bukan sahaja sebagai strategi pasukan tetapi juga memberikan pengalaman segar apabila beraksi bersama gandingan baharu.
“Jika pasukan mahukan kita untuk dipisahkan (dengan gandingan sedia ada), kita tiada masalah untuk melakukannya demi pasukan.
“Sebenarnya ia satu pengalaman yang baik kerana kita dapat mempelajari sesuatu menerusi pasangan baharu dan menyuntik nafas baharu ketika pertandingan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pusat di sini hari ini.
Pada masa sama, pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu sedia membantu pemain muda bagi menghadapi saingan kompetitif Piala Sudirman yang akan berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Xiamen, Gimnasium Fenghuang pada 27 April hingga 4 Mei ini.
Sementara itu, Shevon mengakui gandingannya bersama Soon Huat berada dalam prestasi terbaik menjelang kejohanan dwitahunan itu.
Beliau mengakui sangat berbangga kerana diberikan peluang mewakili negara ke Piala Sudirman buat kali ketiga dan mengakui tekanan tetap dirasai apatah lagi mereka kini menghuni ranking ketiga dunia dan beregu campuran utama negara.
“Saya dan Soon Huat telah melalui pelbagai cabaran dan kami berjaya menanganinya dengan baik. Tidak sempurna tetapi lebih baik berbanding sebelumnya dan kami tahu cara mengawal emosi,” katanya.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka tirai kempen Piala Sudirman 2025 menentang Perancis pada 28 April diikuti Australia (29 April) dan pilihan ketiga Jepun (1 Mei).
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
Nur Izzuddin menerusi rakaman video yang dikongsi BAM, berkata kesemua beregu yang disenaraikan kali ini mampu menyumbang mata kepada Malaysia.
“Kita ada tiga pasangan yang bagus, walau letak sesiapapun, peluang untuk menang adalah tinggi,” katanya.
Selain Nur Izzuddin dan gandingannya Goh Sze Fei, beregu lelaki ke Piala Sudirman 2025 turut dibarisi juara Kejohanan Badminton Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man We Chong-Tee Kai Wun.
Bagi Sze Fei pula, beliau mengakui gembira dapat kembali ke 'rumah lama’ mereka di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dan teruja mendapat bimbingan daripada ketua jurulatih beregu lelaki Herry Iman Pierngadi sepanjang menjalani latihan pusat sejak 15 April lepas.
Herry, yang memulakan tugas sejak 1 Feb, memiliki reputasi melahirkan juara Sukan Olimpik Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008) sepanjang 31 tahun mengabadikan diri melatih skuad badminton Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial