SUKAN > BERITA

PEMAIN PERLU BERSATU UNTUK CEMERLANG DI PIALA SUDIRMAN 2025 - HANNAH YEOH

26/04/2025 01:54 PM

GEORGE TOWN, 26 April (Bernama) -- Kerjasama sepasukan merupakan elemen penting dalam mengangkat martabat skuad negara ke tahap lebih tinggi sekali gus menjadi kunci kejayaan pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata tidak kira sama ada pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau profesional, apabila melangkah ke gelanggang pertandingan, kesemua perlu bersatu hati di bawah satu bendera untuk mencipta kejayaan bersama.

“Ranking semua pemain kita adalah baik dan berpotensi dalam semua kategori. Tak kiralah BAM atau profesional, bila mereka keluar membawa bendera Malaysia, mereka kena bersatu. 

“Kita adalah satu pasukan dan saya yakin pasukan ini akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 1st Penang Rowing Beach Sprint Coastal Championships 2025 di sini hari ini.

Selain itu, Hannah berharap rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan kepada atlet negara yang menunjukkan semangat juang tinggi dan bermain sepenuh hati demi mencipta kejayaan.

“Selagi kamu bermain dengan baik, tak kira peminat apapun, mereka akan menghargai semangat kesukanan itu. Berjuanglah sebagai satu pasukan,” katanya.

Piala Sudirman yang bermula esok hingga 4 Mei ini, menyaksikan skuad negara yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka kempen di China menentang Perancis pada 28 April, diikuti Australia (29 April) dan Jepun (1 Mei).

Sementara itu, Hannah berkata sukan mendayung kini menjadi platform baharu dalam usaha pembangunan bakat belia orang kurang upaya (OKU) dengan geran khas berjumlah RM20,000 diperuntukan kepada Persatuan Mendayung Pulau Pinang  (PRA).

Beliau berkata sukan tersebut dipilih kerana merupakan aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam keadaan terkawal, terutama melalui kemudahan di dalam bangunan yang lebih selamat dan sesuai untuk golongan OKU.

“Saya minta mereka (PRA) bangunkan satu silibus khas kerana saya fikir kita tak cukup lagi program untuk membantu belia OKU. Banyak program untuk OKU di peringkat sekolah tetapi selepas peringkat sekolah, belia OKU kurang aktiviti.

“Kalau tak ada aktiviti bermaksud mereka akan membazirkan masa dan terpengaruh dengan pelbagai kandungan dalam talian yang saya rasa tidak sihat,” katanya.

Pada majlis tersebut, Hannah turut menyampaikan Geran Padanan Sukan berjumlah RM60,000 bagi kejohanan sukan mendayung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan