SUKAN > BERITA

KHAI XIN LAYAK AWAL KE SUKAN SEA, KEJOHANAN AKUATIK DUNIA

25/04/2025 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Perenang lelaki negara Tan Khai Xin berjaya melayakkan diri lebih awal ke Sukan SEA dan Kejohanan Akuatik Dunia selepas memenangi 400 meter (m) rampaian individu pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-67 hari ini.

Pada aksi di Pusat Akuatik Nasional, atlet berusia 21 tahun itu merangkul pingat emas dengan catatan masa 4 minit 26.44 saat sekali gus melepasi had kelayakan B bagi kedua-dua kejohanan iaitu 4:36.04s untuk Sukan SEA dan 4:26.49s untuk Kejohanan Akuatik Dunia yang membenarkan satu penyertaan setiap negara.

Biarpun gagal memperbaharui rekod kebangsaannya sendiri iaitu 4:23.24s, pencapaian itu sudah memadai untuk menempah tiket ke Kejohanan Akuatik Dunia yang akan berlangsung di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos dan Sukan SEA di Thailand dari 7 hingga 19 Dis ini.

Pingat perak menjadi milik Shun Wang dari Hong Kong dengan catatan 4:29.56s manakala perenang Selangor Liew Zeng Wye membawa pulang gangsa (4:46.15s).

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian ini. Matlamat utama saya dalam kejohanan ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA dan Kejohanan Dunia, dan saya bersyukur dapat mencapainya.

“Kalau tidak layak pun, bukanlah pengakhiran kerana masih ada beberapa kejohanan lagi. Tapi semestinya lebih baik dapat layak awal dan kini saya boleh beri tumpuan kepada latihan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Terdahulu, seorang lagi perenang negara, Khiew Hoe Yean mencatat sejarah sebagai perenang pertama Malaysia yang melepasi had kelayakan A bagi Sukan SEA Thailand selepas menjuarai acara 200m gaya bebas dengan catatan 1:48.46s mengatasi masa kelayakan 1:49.31s.

Pingat perak dimenangi Surasit Thongdeang dari Thailand (1:50.82s) manakala Dhuha Zulfikry dari Wilayah Persekutuan meraih gangsa (1:50.90s).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan