KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Jaguh skuasy wanita negara S. Sivasangari mara ke final Piala Grasshopper 2025 selepas menewaskan pilihan kedua kejohanan dalam perlawanan separuh akhir yang sengit di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi.
Pemain nombor 11 dunia itu menampilkan permainan cemerlang untuk menundukkan Tinne Gilis dari Belgium 3-1 (13-11, 7-11, 11-8, 15-13), menurut laman sesawang rasmi Grasshopper Cup 2025 - PSA Squash Tour.
Pada final yang dijadualkan esok (awal pagi waktu Malaysia), Sivasangari akan berdepan pemain nombor satu dunia, Nouran Gohar dari Mesir, yang mengalahkan Georgina Kennedy dari England 3-1 (11-2, 8-11, 11-5, 11-1) dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Gohar setakat ini memegang rekod kemenangan ke atas Sivasangari dalam ketiga-tiga pertemuan mereka sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu lagi kejohanan berasingan, pemain skuasy lelaki negara Ng Eain Yow turut mencipta kejayaan mara ke final Terbuka Squash On Fire 2025 di Washington, Amerika Syarikat.
Eain Yow, pilihan kedua kejohanan itu mengalahkan pemain bukan pilihan dari Mesir Kareem El Torkey di separuh akhir dengan 3-0 (11-5, 11-4, 11-6), menurut laman sesawang rasmi Squash on Fire Open 2025 - PSA Squash Tour.
Menunggu Eain Yow di final esok, pilihan nombor satu Marwan Elshorbagy dari England, yang menewaskan Gregoire Marche dari Perancis 3-1 (11-8, 11-7, 9-11, 11-8) dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Sebagai rekod, Eain Yow kalah semua tiga perlawanan menentang Elshorbagy sebelum ini.
Seorang lagi pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold, turut menempah slot ke final di Washington selepas mengejutkan pemain pilihan utama dari Mesir Rowan Elaraby, dengan keputusan 3-2 (3-11, 11-6, 12-10, 6-11, 11-7) di separuh akhir.
Pemain pilihan keempat itu akan menghadapi pemain pilihan tuan rumah dan pilihan ketiga, Amanda Sobhy, yang mengalahkan Kenzy Ayman 3-0 (11-8, 11-4, 11-6) di separuh akhir yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial