SUKAN > BERITA

KBS HENTI GUNA DANA KERAJAAN SELENGGARA FASILITI PERSENDIRIAN - HANNAH

27/04/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian, tegas Menterinya  Hannah Yeoh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal yang sebelum ini menjadi trend.

“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad.

“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat persetujuan rasmi terlebih dahulu, manakala pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan terdapat kes sebelum ini di mana kerajaan negeri enggan menerima fasiliti yang telah dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara telah dilupus dan dirobohkan sejak 2021.

Menurut beliau, pelupusan tersebut melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata KBS kini memberi tumpuan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan, termasuk ketagihan vape dan penyalahgunaan dadah, khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, KBS bukan agensi penguat kuasa dan memfokus kepada penyediaan platform untuk belia mendapatkan maklumat, bantuan dan rawatan, termasuk secara dalam talian.

“Kita bekerjasama dengan Majlis Aids Malaysia untuk membantu belia mendapatkan sokongan dalam persekitaran yang lebih selesa,” katanya.

Tambah beliau, masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara serius kerana ia berpotensi menjejaskan produktiviti tenaga kerja negara pada masa hadapan.

Dalam ucapannya terdahulu, Hannah turut menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan jumlah keahlian kelab belia sejak dua dekad lalu.

Beliau berkata sekitar era 1990-an, hampir 50 peratus populasi belia negara, atau antara empat hingga lima juta orang, aktif menyertai kelab-kelab belia, sekali gus memudahkan perancangan dan pelaksanaan pelbagai program.

“Namun selepas kemunculan telefon pintar dan kemudahan perkhidmatan dalam talian, minat terhadap aktiviti fizikal dan keahlian kelab belia semakin merosot.

“Sehingga tahun lalu, hanya sekitar satu juta belia yang aktif, iaitu kira-kira 10 peratus sahaja. Persoalannya, ke manakah hilangnya baki 90 peratus lagi?” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan