KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Segelintir penyokong bola sepak yang hadir ke stadium dengan hasrat untuk mencetuskan kekecohan perlu mengubah sikap mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Mengulas mengenai kekecohan sebelum sepak mula aksi final Piala Malaysia semalam, beliau bimbang insiden sedemikian boleh membawa kerisauan kepada penyokong lain yang hadir bersama keluarga untuk menyaksikan acara sukan.
“Bila ada insiden macam ini, ia macam mencemarkan sedikit suasana dan mungkin ada yang rasa tak selamat nak pergi stadium. Kod Sukan Selamat bukan sahaja untuk atlet dan jurulatih tetapi juga untuk penyokong dalam memastikan keselamatan.
“Jadi saya minta bagi yang datang untuk buat huru-hara, kena ubah sikap mereka kerana ini merugikan sukan bola sepak. Apa yang kita nak adalah laporan positif supaya seluruh ahli keluarga dapat menikmati sukan dan rekreasi dengan tenang, yang juga menjadi aktiviti mengurangkan stres,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Konvensyen Rakan Muda 2025.
Pada masa sama, beliau melihat kehadiran ramai penyokong bersama anak-anak untuk menonton aksi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, sebagai satu trend positif.
Pada aksi malam semalam, JDT mengatasi Sri Pahang 2-1 untuk menjuarai Piala Malaysia 2024/2025, sekali gus mencipta sejarah merangkul empat gelaran utama saingan Liga Malaysia buat kali ketiga berturut-turut, iaitu kejuaraan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih)
Sementara itu, Hannah turut merakam tahniah kepada bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang dipilih sebagai Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2025-2029, di Xiamen, China, semalam.
“Ini membuktikan pimpinan beliau diiktiraf oleh BWF. Saya ucapkan selamat maju jaya, semoga beliau boleh terus mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa kerana ini juga mencerminkan kepimpinan beliau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial