SUKAN > BERITA

JRGP: HAKIM DANISH PAMER TUNGGANGAN MENGAGUMKAN DI ESTORIL

05/05/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bintang muda permotoran negara Muhammad Hakim Danish Ramli memulakan kempen Kejuaraan Dunia Grand Prix Remaja (JrGP) 2025 dengan bergaya apabila menamatkan saingan di tempat kedua pada pusingan pembukaan di Circuit do Estoril, Portugal, pada Ahad.

Pelumba UAX SeventyTwo Artbox Brian Uriarte muncul juara dengan catatan 27 minit 45.045 saat (s) meninggalkan Hakim Danish yang mewakili SIC Racing-MSI di tempat kedua (+7.931s) dan Rico Salmela daripada Estrella Galicia 0,0 melengkapkan podium di kedudukan ketiga (+10.403s).

Hakim Danish dalam satu kenyataan bersyukur dapat memberikan tentangan kepada Uriarte biarpun bermula agak kurang baik pada awal perlumbaan.

“Saya tahu Brian ada kelajuan yang lebih baik, dan dalam kelompok tadi saya cuba ikut, tetapi rentak kumpulan saya agak perlahan. Untuk perlumbaan seterusnya, saya akan cuba kekal bersama dia,” katanya.

Pencapaian berkenaan menyaksikan pelumba berusia 17 tahun itu kini di kedudukan kedua bagi carta keseluruhan dengan 20 mata di belakang Uriarte yang berada di tempat pertama dengan 25 mata.

Dalam penampilan sulungnya dalam JrGP musim lepas, Hakim Danish menamatkan saingan di kedudukan ke-15 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan