SUKAN > BERITA

PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN KEBANGSAAN BAKAL WAKILI MABA PADA PIALA AGONG

06/05/2025 04:39 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Kesemua pemain terbaik setiap negeri yang dikenal pasti pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan 2025 akan dikumpulkan bagi membentuk satu pasukan di bawah Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong tahun hadapan.

Pengerusi kejohanan Mohd Haniff Ab Razak berkata kejohanan kebangsaan kali ke-29 yang sedang berlangsung di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) di sini, menjadi platform terbaik kepada skuad negara mencari bakat baharu bagi menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata pada edisi kali ini juga, pihak penganjur turut memperkenalkan kategori baharu 3x3 berbanding hanya 5x5 pada edisi sebelum ini.

“Tahun ini kita perkenalkan acara 3x3 (3 hingga 5 Mei) pada awal pertandingan sebelum disusuli acara 5x5 (5 hingga 11 Mei).

“Kita memperkenalkan 3x3 untuk kesinambungan kepada skuad kebangsaan. Melaluinya, semua negeri akan mula sedar dan kemudian turut memberi pendedahan kepada acara ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada edisi sulung saingan 3x3 yang berakhir Ahad lepas, Negeri Sembilan muncul juara selepas menewaskan Johor 21-8, manakala Selangor menamatkan saingan di tempat ketiga selepas menewaskan Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan