SUKAN > BERITA

ASN 2024: ZII JIA, NOR FARAH AIN ANTARA CALON OLAHRAGAWAN, OLAHRAGAWATI KEBANGSAAN

12/05/2025 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pemain badminton perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia dan jaguh boling padang Nor Farah Ain Abdullah antara atlet yang disenarai pendek bagi merebut Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024, esok.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan atlet wushu Wong Weng Soon, badang negara Mohamad Aniq Kasdan, juara beregu lelaki Asia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet pencak silat  Abdul Latif Maxzakir turut disenarai bagi calon Olahragawan Kebangsaan. 

Bagi saingan Olahragawati Kebangsaan, empat lagi atlet disenarai pendek iaitu Sin Li Jane (tenpin boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat). 

"Jawatankuasa Pemilihan ASN 2024 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Nagulendran Kangayatkarasu menerima 148 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM)," menurut kenyataan itu. 

MSN memaklumkan calon-calon yang disenarai pendek adalah berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang 2024. 

Sementara itu, bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengetuai pencalonan diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Liek Hou (para badminton).

Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula adalah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (para boling padang) dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima piala, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

"ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

"ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan," menurut kenyataan itu. 

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka berangkat ke Majlis ASN 2024 yang akan diadakan esok di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan