KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menegaskan bahawa pemain perlu membuktikan kemampuan mereka di gelanggang terlebih dahulu sebelum menuntut bayaran gaji yang tinggi.
Mengulas dakwaan segelintir pemain yang meminta bayaran lumayan daripada persatuan, Chong Wei berkata perkara itu bukanlah satu masalah besar sekiranya prestasi pemain terbabit mampu menyumbang kejayaan kepada negara.
“Saya tak kata pemain tak boleh minta gaji tinggi, boleh… tapi yang penting mereka perlu buktikan dulu (prestasi). Mereka kena bawa keputusan dan sumbang kepada persatuan.
“Sekarang saya selalu cakap pemain manja sangat, tapi kalau dia ada keputusan, dia minta berapa pun (gaji), saya rasa persatuan sendiri akan cuba bantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Chong Wei berkata masalah hanya timbul apabila pemain yang belum mencapai tahap tertentu dalam karier mereka sudah pun membuat tuntutan tidak munasabah.
“Ada yang belum sampai tahap itu, tapi sudah mahu minta gaji tinggi. Bila tak dapat, mereka kata ‘kalau tak bagi, saya pergi (main) secara profesional’,” katanya.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu turut berharap kepimpinan baharu yang bakal menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat meneliti semula isu gaji pemain dan melakukan perubahan ke arah yang lebih positif.
Dalam pada itu, Chong Wei mengagumi kesungguhan dan keazaman jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan kebangsaan untuk bergerak secara profesional.
Chong Wei, yang kini merupakan ahli Jawatankuasa Road To Gold (RTG), berkata program tersebut menyokong penuh keputusan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.
“Kita harap dia boleh dapatkan pingat emas (dalam kejohanan dan temasya seterusnya),” kata naib juara tiga kali Kejohanan Dunia berusia 42 tahun itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial