SUKAN > BERITA

ZII JIA JANGKA KEMBALI BERAKSI DI TERBUKA JEPUN 2025

13/05/2025 04:33 PM

PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijadual membuat kemunculan semula di gelanggang Terbuka Jepun 2025 di Tokyo pada 15 hingga 20 Julai ini.

Zii Jia berkata beliau mahu memastikan dirinya tidak terburu-buru untuk kembali beraksi susulan kecederaan ligamen buku lalinya sebelum ini.

“Saya rasa agak terlalu cepat untuk beraksi semula di Terbuka Amerika Syarikat 2025 di Iowa (24-29 Jun) dan mungkin akan menangguhkan dulu.  

“Saya harap dapat bermain kembali pada Terbuka Jepun dan Terbuka China 2025 (22-27 Julai),” katanya kepada pemberita selepas Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini hari ini.

Kali terakhir Zii Jia beraksi pada Seluruh England 2025 di Birmingham dari 11-16 Mac lepas, yang menyaksikan beliau tersingkir di pusingan pertama kepada wakil Hong Kong Angus Ng Ka Long, 21-19, 16-21, 12-21.

Pemain ranking kelapan dunia itu kemudian menarik diri daripada menyertai Terbuka Swiss 2025  berlangsung di Basel, Switzerland pada 18-23 Mac lepas, susulan kecederaan buku lali tersebut.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris itu juga berharap Presiden Persatuan Badminton Malaysia yang baharu Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mampu membawa sesuatu yang berbeza buat sukan badminton tanah air.

Sabtu lepas, Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara menduduki kerusi nombor satu BAM selepas tidak dicabar mana-mana pesaing pada sesi pemilihan yang dijalankan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 badan induk badminton negara itu. 

Dalam pada itu, Zii Jia yang merupakan antara calon Olahragawan Kebangsaan pada ASN 2024, berharap dapat merasai nikmat memenangi gelaran tertinggi tersebut satu hari nanti.

Terdahulu, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan Olahragawan Kebangsaan buat kali kedua selepas edisi 2022 susulan kejayaan mempertahankan pingat gangsa buat kali kedua berturut-turut pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Anugerah Olahragawati Kebangsaan 2024 pula disandang atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah, yang melakar sejarah tersendiri muncul wakil pertama dari sukan tersebut memenangi gelaran tersebut.

Nor Farah mencuri perhatian selepas meraih pingat emas acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan