SUKAN > BERITA

12,000 PESERTA DIJANGKA SERTAI IJM ALLIANZ DUO HIGHWAY CHALLENGE 2025

14/05/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak 12,000 peserta dijangka menyertai acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 yang dijadual berlangsung di sini pada 3 Ogos.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Bhd (IJM) Datuk Lee Chun Fai berkata sasaran berkenaan berdasarkan sambutan menggalakkan tahun lepas yang mencapai 10,000 peserta.

“Kami yakin momentum ini perlu diteruskan dengan sasaran 12,000 peserta tahun ini bukan sekadar angka, ia adalah lambang semangat, kekuatan komuniti dan sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia.

"Tema tahun ini, Highway Legend mengetengahkan inspirasi untuk setiap individu menjadi legenda dalam pencapaian mereka sendiri tanpa mengira masa, jarak atau kategori,” katanya pada sidang media sempena penganjuran IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang berkata larian itu yang diperakui oleh World Athletics telah menerima lebih 80 peratus penyertaan setakat ini, dengan kategori 21 kilometer (km) mencatat penyertaan tertinggi.

IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025 yang memasuki edisi ketujuh penganjurannya menyaksikan peserta akan menempuh laluan bersambung di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) milik IJM dengan pilihan jarak 5 km hingga maraton penuh 42.195km.

Pendaftaran kini dibuka hingga 30 Jun menerusi laman web rasmi www.ijmhighwayrun.com serta halaman Facebook IJM Allianz Duo Highway Challenge.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan