SUKAN > BERITA

236 ANGGOTA, PEGAWAI PDRM DITUGASKAN KAWAL KESELAMATAN SEMPENA WKF KARATE 1-SERIES

26/09/2025 03:45 PM

SEREMBAN, 26 Sept (Bernama)-- Sebanyak 236 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Kejohanan Dunia WKF Karate 1-Series A 2025 di N9 Arena Nilai bermula 3 hingga 5 Okt ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kawalan keselamatan utama dan lalu lintas dilaksanakan di lokasi kejohanan termasuk tujuh lokasi penginapan yang menempatkan atlet, jurulatih, pegawai penganjur dan tetamu kenamaan (VVIP).

"Kita akan memastikan perjalanan pegawai karate dan atlet-atlet dunia yang tiba menerusi KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kemudian di hotel dan seterusnya di kawasan latihan serta sekitar lokasi kejohanan dikawal rapi.

“Setakat ini tiada keperluan untuk membuat penutupan jalan memandangkan kawalan lalu lintas lebih tertumpu di kawasan sekitar arena yang dijangka mengalami kesesakan sepanjang kejohanan dunia ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya komited memastikan kejohanan bertaraf dunia itu berjalan lancar dengan tahap keselamatan dipertingkat, khususnya membabitkan kehadiran VVIP serta atlet seluruh dunia.

Buat julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah bagi penganjuran program WKF K1 Series A, yang merupakan kejohanan tahap kedua dalam struktur liga WKF dalam memberi peluang kepada atlet menambah mata ranking dunia sebelum ke Kejohanan Dunia di Paris, Oktober depan dan Kejohanan Dunia Senior di Mesir, November nanti.

Setakat ini, 81 negara yang disahkan berdaftar membabitkan 1,080 atlet seluruh dunia antaranya dari Jepun, Arab Saudi dan Amerika Syarikat akan berkampung di Arena 9 Nilai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan