TAIPING, 28 Sept (Bernama) -- Pelari Iceland Kristjan Chapman dan pelari China Jiang Weng Li, masing-masing muncul juara kategori utama lelaki dan wanita kejohanan larian denai Malaysia Ultra-Trail oleh Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) 2025 di sini, yang menarik penyertaan hampir 3,000 peserta dari 64 negara.
Kristjan menamatkan saingan 96.7 kilometer (km) bagi kategori MY100 lelaki dengan catatan masa 11 jam 39 minit 29 saat, mengatasi pencabar dari China, Bai Xing Zhi (11:51:52) dan pelari Jepun, Kanta Mizutani (12:14:56).
Bagi kategori wanita, Jiang membuktikan ketahanan luar biasa apabila mengungguli dengan masa 14 jam 38 minit 44 saat iaitu hanya seminggu selepas menjuarai perlumbaan ultra di Itali.
Tempat kedua wanita menjadi milik pelari Jepun Ayaka Takimoto dengan catatan 15:27:10 manakala rakan senegara Jiang, Liu Wen Jing, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 15:54:37.
Kristjan ketika ditemui mengakui kemenangan pada penampilan sulungnya di kejohanan itu tidak dijangka, terutama apabila berdepan lawan berpengalaman seperti Xing Zhi yang sekian lama mendahului.
“Ia benar-benar permainan kejar-mengejar. Ada masa saya di depan, kemudian dia pula mendahului. Di penghujung perlumbaan, kami berdua mula mengalami kekejangan otot. Namun apabila dia berhenti mengikat tali kasut di pendakian terakhir, saya tahu itu peluang terbaik untuk saya teruskan,” katanya.
Pelari berusia 34 tahun itu turut mengakui perubahan cuaca daripada -10 darjah Celsius di Iceland kepada suhu panas lembap di Taiping menjadi cabaran utama kepada dirinya.
“Perubahan daripada suhu sejuk melampau (Iceland) ke panas dan lembap (Taiping) memang mencabar. Saya sudah menyesuaikan diri sedikit sebanyak, tetapi kelembapan tetap memberi kesan,” katanya.
Sementara itu, Jiang yang berasal dari Chongqing (China) menjelaskan cuaca tropika memberi cabaran besar kerana tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya daripada perlumbaan di Itali sebelum ini.
“Saya hampir alami strok haba di pendakian terakhir dan terpaksa berehat hampir setengah jam namun yang penting bagi saya ialah menamatkan perlumbaan dengan selamat,” katanya menerusi jurubahasa.
-- LAGI
Beliau memulakan saingan dengan rentak pantas tetapi memperlahankan langkah selepas lapan jam kerana kehilangan tenaga dan masalah melecet.
“Saya tidak menyangka mampu menamatkan dua perlumbaan 100km dalam masa seminggu. Jika kembali tahun depan, saya akan membuat persiapan lebih rapi dan cuba catat masa lebih pantas,” ujarnya.
Penganjur kejohanan Ewegene Tan berkata kejohanan itu mencatat peningkatan penyertaan ketara dengan lebih 36 peratus peserta antarabangsa berbanding 29 peratus pada tahun lepas.
Katanya faktor utama peningkatan penyertaan adalah disebabkan pelaksanaan aspek keselamatan lebih ketat yang membolehkan semua peserta menamatkan perlumbaan tanpa kecederaan serius.
“Kita optimis bilangan peserta asing akan terus bertambah pada masa depan dengan sasaran keseluruhan 4,000 hingga 5,000 pelari sekali gus membantu mempromosi Taiping sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial