SUKAN > BERITA

SUKAN SEA: SASARAN PINGAT EMAS PERLUKAN BEREGU LELAKI TERBAIK - HERRY IMAN

30/09/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan Malaysia perlu menurunkan beregu terbaik jika emas menjadi sasaran pada Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember ini.

Beliau berkata ketika ini terdapat empat pasangan negara berada dalam senarai untuk mewakili Malaysia ke temasya dwitahunan itu iaitu juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

“Kalau menurut saya (tunggu) sasaran dulu dari BAM apa. Kalau memang mahu pingat emas kita beri yang terbaik. Lebih kurang itu pandangan saya...jadi saya tunggu keputusan BAM untuk sasaran bagi beregu lelaki,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya senarai akhir pemain dijangka diputuskan minggu depan menerusi mesyuarat bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.

Herry Iman berkata hanya dua pasangan beregu akan dibawa ke Thailand mengambil kira had kuota pemain yang turut melibatkan acara berpasukan.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung pada 9 hingga 20 Dis ini di venue sekitar Bangkok, Chonburi and Songkhla.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan