SUKAN > BERITA

KEMENANGAN PERTAMA DPMM FC DIBANTU WIRA HAIMIE

01/10/2025 12:36 AM

MELAKA, 30 Sept (Bernama) -- Penjaga gol DPMM FC Muhammad Haime Abdullah Nyaring muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan sulung Liga Super selepas menewaskan Melaka FC 1-0 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Haimie menafikan sepakan Aiman Danish Abdul Azim pada minit ke-26, sebelum sekali lagi cemerlang menggagalkan percubaan import Melaka FC, Danilo Augusto Magalhaes pada minit ke-68.

Kejayaan itu melengkapkan malam gemilang buat DPMM FC selepas penyerang import Jordan Murray menyempurnakan penalti pada minit ke-36 untuk memastikan tiga mata berharga berpihak kepada kelab dari Brunei itu dalam enam perlawanan.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir selepas Jordan Rodrigues dibuang padangselepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain tuan rumah, skuad kendalian Adrian Pennock kental bertahan mengekang asakan bertali arus tuan rumah sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan sulung DPMM FC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kesembilan liga dengan empat mata manakala Melaka FC ditangga ke-10 dengan tiga mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan