SUKAN > BERITA

HANNAH MINTA SEMUA PIHAK BERI RUANG FAM SELESAI PROSES RAYUAN

08/10/2025 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sebelum mengambil langkah menubuhkan sebarang suruhanjaya siasatan.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya khas ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.

“Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat ‘bertindak sebelum masanya’.

“Saya tahu ramai mahu tindakan segera tapi kita kena ikut peringkat demi peringkat. Lengkapkan dulu rayuan, baru kita bincang langkah seterusnya termasuk siasatan atau penambahbaikan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia hari ini.

Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas mengesahkan wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal dikemukakan semasa proses pendaftaran pemain terbabit.

Menerusi laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain terlibat mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.

Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Mengulas mengenai kemungkinan bantuan atau sokongan KBS kepada FAM atau pemain terlibat, Hannah berkata tiada permintaan diterima setakat ini daripada badan induk bola sepak negara itu.

“Setakat ini, tiada bantuan diperlukan daripada KBS kerana FAM mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif mengenai peraturan FIFA,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan