ISKANDAR PUTERI, 1 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji disiplin ditampilkan pasukannya meskipun terikat 0-0 menentang kelab Jepun Machida Zelvia FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Munoz menyifatkan perlawanan itu sebagai “hari penting buat kami” dan menekankan keperluan mengekalkan momentum sambil memperhalusi aspek serangan bagi memastikan kemenangan pada aksi seterusnya.
Beliau mengakui gaya permainan fizikal dan taktikal tekanan tinggi Machida menjadikan perlawanan sukar, namun tetap memuji disiplin pertahanan serta kerjasama padu pemain JDT ketika berdepan asakan.
“Hari ini (malam tadi) bukan mudah. Mereka ada tiga penyerang, dua pemain tengah yang melakukan pressing … tetapi pasukan memberi tahap persembahan yang baik. Semua pemain berikan yang terbaik, dan kita boleh ucap tahniah atas sikap serta prestasi mereka,” katanya.
Mengenai sepakan penalti yang diperoleh Machida pada minit ke-22 tetapi gagal disempurnakan, Munoz menekankan kepentingan untuk kekal tenang, dengan menyatakan pasukan perlu mengawal emosi selepas berdepan situasi sebegitu.
Munoz turut mengulas ketiadaan tonggak utama Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal susulan penggantungan FIFA, dengan berkata pasukan perlu menyesuaikan diri tetapi tetap fokus.
Penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, berkata skuad Harimau Selatan telah memberikan segalanya dan akan memperbaiki corak permainan untuk aksi mendatang.
“Alhamdulillah, kita tidak boleh terlalu yakin kerana masih banyak perlawanan menanti. Kita perlu baiki apa yang perlu untuk mendapatkan gol, tetapi untuk perlawanan malam ini saya amat bersyukur,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Machida Zelvia, Go Kuroda, menyatakan rasa puas hati dengan prestasi pertahanan pasukannya yang berjaya mengikat JDT 0-0, sambil menekankan ia merupakan aksi sulung kelab Jepun itu di pentas antarabangsa di gelanggang lawan.
Beliau berkata objektif utama adalah untuk bertahan dengan baik serta bermain secara agresif bagi menyekat serangan balas JDT, sambil mengakui anak buahnya beraksi baik walaupun masih kurang tepat dalam hantaran dan penyudah.
Mengulas penalti yang dilepaskan pada minit ke-22, beliau mengakui ia satu peluang penting namun menegaskan pasukan perlu memberi tumpuan kepada jaringan permainan terbuka serta memperbaiki kelemahan bagi perlawanan akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial