SUKAN > BERITA

UCI KEKAL STATUS PROSERIES LTDL UNTUK TIGA TAHUN LAGI - AMARJIT

07/10/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan status penganjuran ProSeries kepada jelajah berbasikal tertua Asia Le Tour de Langkai (LTdL) bagi tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.

Naib Presiden UCI Datuk Amarjit Singh ketika mengesahkan perkara itu berkata keputusan telah dikeluarkan secara rasmi dalam kalendar UCI sekali gus menandakan kejayaan besar buat Malaysia untuk terus diiktiraf sebagai antara penganjur terbaik jelajah berbasikal dunia.

“Ia bukti nyata bahawa UCI mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan negara kita dalam menganjurkan LTdL secara cekap, profesional dan tanpa sebarang isu,” kata Amarjit, yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, perbincangan bersama Presiden UCI, David Lappartient turut menekankan mengenai kepentingan LTdL sebagai salah satu perlumbaan utama di benua Asia serta keperluan mengekalkan status ProSeries itu.

“Saya tekankan kepadanya bahawa LTdL bukan sekadar perlumbaan biasa - ia adalah simbol pembangunan dan kemajuan sukan berbasikal di Asia.

“Saya gembira kerana beliau bersetuju sepenuhnya dan memberi sokongan padu agar perlumbaan ini terus dimasukkan dalam kalendar ProSeries UCI untuk tiga tahun akan datang,” katanya.

Namun, Amarjit berkata belum ada sebarang kepastian berhubung penganjur LTdL 2026.

LTdL 2025 yang berakhir pada 5 Okt, dianggap antara perlumbaan berbasikal lebuh raya terbaik pernah dianjurkan Malaysia kerana keseluruhan aspek teknikal dan perlumbaan mendapat penilaian cemerlang dengan penarafan all green oleh presiden dan barisan komisar serta pengarah perlumbaan.

Perlumbaan berprestij di Asia itu mendapat pengiktirafan kategori 2.HC daripada UCI dan merupakan sebahagian daripada Jelajah Asia UCI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan