SUKAN > BERITA

SAMBUTAN HSN MELAKA SASAR PENYERTAAN LEBIH 300,000 PESERTA

09/10/2025 05:21 PM

MELAKA, 9 Okt (Bernama) -- Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Melaka 2025 akan berlangsung tiga hari membabitkan agensi kerajaan dan swasta, sekolah serta komuniti di tiga daerah bermula 10 Okt ini serta menyasarkan penglibatan 359,000 peserta.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata pada tahun ini, daerah Jasin dipilih menjadi tuan rumah penganjuran HSN peringkat Melaka dan Dataran Orang Kampung Merlimau menjadi lokasi utama sambutan berkenaan pada 11 Okt. 

Beliau berkata sebanyak 35 aktiviti sukan termasuk permainan tradisional, antaranya konda kondi, 'dam aji', galah panjang, 'tuju tin', boling kelapa, larian MADANI, jalan santai, dan Muay Thai akan dipertandingkan di Dataran Orang Kampung Merlimau.

"Pada Sabtu ini sahaja, kita anggarkan kira-kira 10,000 peserta akan terlibat dalam 35 acara sukan yang dipertandingkan dan kita berharap ia akan menjadi platform untuk memperkenalkan permainan tradisional seperti konda kondi, 'dam aji' dan boling kelapa kepada generasi muda.

"Sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 300 sekolah menengah dan rendah dengan penyertaan antara 150,000 hingga 180,000 pelajar dan warga pendidik akan terlibat dalam senamrobik di sekolah masing-masing," katanya kepada pemberita di Melakafm di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sesi Bicara Santai Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sempena Sambutan HSN peringkat Melaka yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Beliau dan Sukan Melaka Zailani Siran.

Shanmugam berkata bagi daerah Melaka Tengah, sambutan HSN berkenaan akan diadakan di Mahkota Parade, Banda Hilir, manakala di Alor Gajah pula akan diadakan di Felcra Ramuan Cina.

Beliau berkata sambutan HSN peringkat Melaka tahun ini bukan hanya bertujuan memupuk semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat tetapi untuk mengembalikan nostalgia permainan tradisional yang kian dilupakan sekali gus memberi ruang dan pendedahan tentang permainan berkenaan kepada generasi muda.

Penganjuran acara tahunan itu juga platform untuk pelbagai persatuan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri berkenaan turun padang bagi melibatkan diri dengan masyarakat dan fasiliti sukan bersesuaian turut disediakan untuk golongan terlibat.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan