SUKAN > BERITA

POS MALAYSIA PERKUKUH KOMITMEN SOKONG GAYA HIDUP SIHAT MELALUI HSN 2025

05/10/2025 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) memperkukuh komitmennya dalam menyokong gaya hidup sihat apabila tampil sebagai Rakan Strategik Logistik Rasmi bagi Hari Sukan Negara 2025 (HSN 2025) Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung pada 11 Okt ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Charles Brewer berkata sebagai sebahagian daripada sumbangan, Pos Malaysia antaranya menyediakan 15,000 helai baju larian bagi peserta acara larian HSN di dua lokasi, iaitu Perak dan Pulau Pinang.

“Pos Malaysia berbangga dapat menyokong penganjuran acara berskala nasional yang mampu menyatukan rakyat daripada segenap lapisan dan latar belakang. Sebagai Rakan Strategik Logistik Rasmi bagi HSN2025, kami berbesar hati kerana dapat memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan semua barangan logistik untuk negeri Perak dan Pulau Pinang.

“Ia termasuk pengagihan baju larian, aktiviti peruncitan, aktivasi kerjasama penjenamaan bersama Kementerian Belia dan Sukan, serta penyertaan dalam pelepasan rasmi acara larian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata HSN 2025 platform penting untuk membina masyarakat yang lebih sihat, bersatu padu, dan bersemangat selaras dengan fokus Pos Malaysia dalam pembinaan komuniti dan mempromosikan gaya hidup sihat.

Bertemakan “Malaysia Aktif”, HSN 2025 menyasarkan penglibatan lebih 5.2 juta rakyat Malaysia melalui pelbagai program sukan dan rekreasi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Okt. 

Majlis perasmian peringkat kebangsaan dijadualkan berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan