NILAI, 10 Okt (Bernama) -- Skuad tinju negara akan berkampung selama dua minggu di Kazakhstan bermula 15 Nov, sebagai persiapan akhir menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis.
Presiden Persatuan Tinju Malaysia Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata barisan petinju negara terlibat bukan sahaja berpeluang berlatih bersama-sama petinju Kazakhstan, tetapi juga wakil dari Uzbekistan dan Tajikistan.
“Kita sedia maklum petinju dari Kazakhstan berpengalaman beraksi dalam Sukan Olimpik. Momentum petinju kita juga dalam keadaan baik selain sudah mencapai tahap 80 peratus.
“Saya harap apabila mereka ke Kazakhstan, atlet kita dapat beri persembahan terbaik pada Sukan SEA 2025,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Iruan memaklumkan ganjaran lumayan bakal menanti petinju negara sekiranya dapat menamatkan kemarau emas lapan tahun pada temasya sukan dwitahunan tersebut.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, kem tinju negara meraih tiga gangsa disumbangkan oleh Muhd Abdul Qaiyum Ariffin dalam kategori flyweight 51 kilogram (kg) Mohd Ridzuan Johari (lightweight 60kg) dan Indran Rama Khrisnan dalam cruiserweight 86kg.
Pingat emas terakhir Malaysia dalam acara tinju di Sukan SEA disumbangkan Muhammad Fuad Redzuan menerusi kategori light flyweight (49kg) pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial